Pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi memaklumkan dirinya bukan lagi pemain kelab gergasi bola sepak tanah air dan finalis Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain naturalisasi kebangsaan berusia 31 tahun yang terkenal dengan panggilan Matdon menyatakan perkara berkenaan menerusi Instagram Story yang dimuat naiknya, sebentar tadi.
“Masa saya di JDT telah sampai ke penghujungnya,”
“Terima kasih @officialjohor (Johor Darul Ta’zim) dan @hrhcrownprinceofjohor (DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim) untuk segala-galanya,”
“Saya mendoakan masa depan anda semua yang terbaik,” tulisnya ringkas.
Bermula Februari lalu, pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC yang juga merupakan finalis Piala Malaysia menandatangani khidmat Liridon secara pinjaman selama setahun daripada JDT atau nama julukannya, Harimau Selatan.
Ketika tempoh awalnya bersama Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner, prestasi dan sumbangannya terhadap pasukan tidak begitu memberangsangkan buat pasukan.
Namun demikian, persembahan dan prestasinya bertambah baik dan mencapai kemuncaknya ketika beraksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada peringkat separuh akhir kedua Piala Malaysia, awal November lalu.
Dalam perlawanan tersebut, Liridon beraksi cemerlang dalam menggerakkan kawasan tengah serta merencana serangan buat Terengganu.
Bahkan pemain dari Kosovo ini turut mencetak satu bantuan gol menerusi hantaran kepada penyerang, Ivan Mamut.
Sebelum ini, peminat difahamkan Liridon tidak akan dapat diturunkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT atas faktor “gentlemen agreement” di dalam kontrak pinjamannya. Situasi ini berlaku ketika Terengganu turun menentang JDT pada aksi Liga Super.
Perkembangan terbaru ini pastinya mengundang persoalan terutamanya daripada para penyokong Terengganu adakah Liridon dapat diturunkan Tomislav untuk menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember (Jumaat) nanti?
Featured Image: JOHOR Southern Tigers