Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpandangan Rahadiazli Rahalim perlu menyertai kelab lain sekiranya mahu menjadi penjaga gol utama atau pilihan No.1.
Hal ini kerana jurulatih berusia 57 tahun berkenaan dari Croatia itu menegaskan Suhaimi Husin adalah penjaga gol utama bagi skuad kendaliannya.
Menerusi pernyataan ini, para penyokong boleh menjangkakan Suhaimi hampir pasti menjadi taruhan utama Tomislav selaku penjaga gawang Terengganu pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir pada malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“…untuk (kebaikan) masa depannya, saya fikir dia mesti ke tempat lain untuk menjadi penjaga gol No.1 tetapi buat masa sekarang bagi pasukan saya, Suhaimi adalah penjaga gol No.1,” katanya dalam sidang media sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, hari ini.
Tomislav mengakui Rahadi, 22 tahun, merangkap penjaga gol skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) merupakan seorang penjaga gol yang bagus termasuk ketika diturunkan dalam perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada Ahad lalu.
“Dia merupakan penjaga gol yang bagus, ketika menentang Penang dia bermain dengan sangat bagus tetapi satu keputusan (dilakukannya) pada minit ke-96 (menyebabkan) kami hilang dua mata,”
“Dia tahu mengenainya, saya tahu mengenainya, semua orang lihatnya (tetapi) saya tak kata apa-apa kepadanya (mengenai kesilapan itu),” ujarnya.
Sebagai rekod, Rahadi atau nama panggilannya, Abe tampil sebanyak tujuh kali dalam saingan liga serta satu penampilan dalam kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia masing-masing pada musim ini.
Sementara itu, Rahadi diturunkan sebanyak 15 kali pada musim lalu selepas pulih daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada tahun 2021.
Featured Image: Terengganu FC