Status pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi samada boleh mewakili Terengganu FC untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 akhirnya terjawab.
Para penyokong boleh menjangkakan kelibat Liridon selepas ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner memaklumkan akan mempertimbangkan menurunkan pemain tengah berusia 31 tahun tersebut pada malam esok.
Namun begitu, Tomislav akan membuat pertimbangan samada meletakkan Liridon atau pemain-pemain lain dalam kesebelasan utama selepas menjalani latihan rasmi pada petang ini.
“Dia (Liridon) bersama pasukan kami sepanjang musim, kadangkala dia bermula dalam kesebelasan utama dalam sebulan, dua bulan terakhir ini,”
“Dia di bangku simpanan kerana saya memutuskan untuk menggunakan pemain lain tetapi dia pemain penting buat kami seperti orang lain kerana kami sepasukan,”
“Kita mungkin dapat lihat Liridon bermula menentang JDT tetapi kami tahu kualiti dan perancangan kami,” jawab Tomislav dalam sidang media praperlawanan Piala Malaysia, hari ini.
Semalam, pemain dari Kosovo yang dipinjamkan kepada Terengganu ini memaklumkan bahawa kontraknya bersama JDT telah sampai ke penghujung sekaligus menjadikan dirinya bukan lagi pemain skuad berjulukan Harimau Selatan.
Perkembangan tersebut membuatkan ramai tertanya-tanya samada Liridon masih terikat dengan “gentlemen agreement” yang membuatkan dirinya tidak boleh diturunkan menentang kelab asalnya atau tidak.
Pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang lalu, aksi cemerlang Liridon kihususnya di bahagian tengah telah membantu Terengganu melakar kemenangan 2-1 sekaligus memenangi aksi separuh akhir menerusi agregat 4-2.
Featured Image: Terengganu FC