Perseorangan wanita negara yang menghuni ranking ke-64 dunia, Letshanaa Karupathevan berhasil meneruskan kempennya dalam saingan Guwahati Masters 2023 di India.
Ianya selepas pemain berusia 20 tahun itu berjaya mencatatkan kemenangan ke atas wakil tuan rumah, Ira Sharma pada aksi peringkat pusingan 16, hari ini.
Dalam pertarungan itu, Letshanaa berhasil melakar kemenangan ke atas pemain yang menghuni ranking ke-132 itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 11-21 dan 21-18.
Pertarungan terbabit turut menyaksikan Letshanaa terpaksa bermandi peluh selama satu jam terlebih dahulu di Gelanggang 1, Saru Sajai Indoor Sports Complex sebelum muncul selaku pemenang sekaligus mengesahkan kemaraannya ke peringkat suku akhir.
RESULTS: #GuwahatiMasters2023
R16#MAS🇲🇾 K Letshanaa def. #IND🇮🇳 Ira Sharma 21-15 11-21 21-18
📷 @badmintonphoto#GemilangkanLagi #DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/iXitELFEL4
— BAM (@BA_Malaysia) December 7, 2023
Sementara itu, menantinya di peringkat suku akhir akhir kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini adalah seorang lagi perseorangan wanita dari India iaitu Malvika Bansod.
Terdahulu, Malvika yang berumur 22 tahun dan menduduki ranking ke-58 dunia mengesahkan tempatnya ke peringkat suku akhir setelah berjaya memadamkan cabaran daripada pemain senegaranya, Tanya Hemanth.
Pertarungan itu menyaksikan Malvika berhasil menumpaskan Tanya secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-17 dalam tempoh masa 39 minit.
Sebagai tambahan, pertarungan melibatkan Letshanaa dan Malvika pada hari esok untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir merupakan julung kalinya berlangsung di pentas antarabangsa.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia