PSM: Maaf Tak Sempat Baiki Padang Selepas Konsert Coldplay
December 7, 2023 Hafizuddin Omar

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay pada 22 November lalu.

Keadaan itu menjadikan padang yang akan digunakan sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 berada dalam keadaan yang kurang memuaskan sepertimana foto yang telah tersebar luas di pelbagai platform media sosial, pada hari ini.

Ia mendapat perhatian dan kritikan orang ramai termasuk Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim serta bekas pemain yang pernah merangkul trofi Piala Malaysia bersama Kelantan FA, Badhri Radzi.

Keadaan padang kurang memuaskan tersebut hampir pasti disajikan kepada para pemain serta penyokong dan penonton memandangkan sepak mula perlawanan ini dijadualkan pada jam 9 malam esok – sekitar 24 jam sahaja sebelum ianya bermula.

Susulan itu, PSM menerusi satu kenyataan media sebentar tadi memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur kejohanan dan para peminat bola sepak tanah air termasuk kedua-dua pasukan finalis, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC atas keadaan tersebut.

Pada masa yang sama, PSM komited untuk melakukan penambahbaikan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Perbadanan Stadium Malaysia (@stadium.malaysia)

Komen