Bimbang Tonggak Kebangsaan Cedera Main Atas Padang Tak Rata Menjelang Piala Asia
December 7, 2023 Hafizuddin Omar

Keberadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam keadaan kurang memuaskan untuk digunakan sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada malam esok mencetuskan kebimbangan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Menerusi komen yang ditinggalkan pada satu hantaran di platform media sosial Instagram, keadaan padang yang disifatkan sebagai tidak rata itu akan mendedahkan para pemainnya kepada kecederaan melibatkan buku lali, thigh, lutut dan groin.

Seperti kita sedia maklum, skuad berjulukan Harimau Selatan ini dibintangi beberapa tonggak skuad kebangsaan seperti Arif Aiman, Matt Davies, Hendrick dos Santos, Sharul Saad dan Afiq Fazail.

Kebimbangan TMJ itu ada asasnya kerana kecederaan yang menimpa pemain-pemain tersebut pastinya akan merencarkan perancangan skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon untuk menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 dalam tempoh masa sebulan sahaja lagi.

Untuk makluman semua, kejohanan Piala Asia di Qatar yang akan disertai oleh Malaysia buat julung kalinya secara merit selepas 43 tahun akan berlangsung bermula 12 Januari kelak.

Namun begitu, TMJ selepas menyaksikan pasukannya menjalani latihan rasmi di SNBJ pada lewat petang tadi berpandangan keadaan padang sebegitu masih boleh dimainkan bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia pada musim ini.

Akan tetapi, para peminat tidak boleh meletakkan jangkaan yang tinggi dan berkemungkinan besar akan disajikan dengan kualiti permainan yang rendah.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen