Skuad hoki lelaki Malaysia terpaksa akur terlepas peluang untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023.
Ini selepas skuad negara bimbingan Amin Rahim tumpas dalam perlawanan akhir peringkat Kumpulan bertemu Australia, pada hari ini.
Pertembungan yang bermula pada jam 2 petang tadi berakhir dengan Malaysia atau nama julukannya, Young Tigers tumpas dengan keputusan 2-5.
Jaringan-jaringan Australia dihasilkan oleh Cooper Burns (2’) serta dua gol daripada Jake Lambeth (6’, 28’) dan Campbell Geddes (15’, 45’) masing-masing.
Sementara itu, Malaysia beroleh dua gol saguhati menerusi Mohammad Harris Iskandar Osman (21’) dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini (45’).
Keputusan ini menyebabkan Malaysia kekal memungut tiga mata daripada tiga perlawanan sekaligus kekal berada di tangga ketiga Kumpulan A.
Manakala Australia pula berhasil memungut enam mata dan muncul naib juara Kumpulan A sekaligus mengiringi Argentina selaku juara kumpulan ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, perjuangan Malaysia dalam kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 belum berakhir.
Malaysia akan meneruskan kempen untuk merebut tempat kesembilan hingga ke-16.