Guwahati Masters: Choong Hon Jian Lakar Kemaraan Berganda Ke Separuh Akhir
December 8, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain badminton beregu negara, Choong Hon Jian mara ke peringkat separuh akhir dalam kedua-dua kategori yang disertainya, beregu campuran dan beregu lelaki, di Guwahati Masters 2023.

Terdahulu, Hon Jian yang bergandingan bersama Go Pei Kee dalam kategori beregu campuran berhasil mara apabila melakar kemenangan ke atas beregu senior senegara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See pada peringkat suku akhir.

Dalam pertarungan tersebut, Hon Jian-Pei Kee mencatatkan kemenangan secara “straight set” ke atas pasangan yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan itu menerusi skor 21-18 dan 21-13 dalam tempoh masa 42 minit.

Kemenangan itu sekaligus mengesahkan kemaraan mereka dalam kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini.

Menantinya di peringkat separuh akhir itu nanti adalah beregu Denmark yang menghuni ranking ke-35 dunia, Mads Vestergaard dan Christine Busch merangkap pilihan keenam kejohanan untuk merebut slor ke perlawanan akhir.

Tuah Hong Jian tidak terhenti setakat itu pada hari ini apabila turut melakar kemaraan yang sama ketika beraksi dalam kategori beregu lelaki bersama-sama Muhammad Haikal Nazri.

Hon Jian-Haikal mara selepas mudah menundukkan wakil tuan rumah yang berada di ranking ke-96 dunia,  Achutaditya Doddavarapu dan Ventaka Veeramreddy secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-14 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam.

Pada peringkat separuh akhir nanti, Hon Jian-Haikal akan bertemu salah satu daripada beregu senegara samada Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong atau Boon Xin Yuan-Goh V Shem.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen