Guwahati Masters: June Wei, Justin Tempah Tiket Separuh Akhir
December 8, 2023 Hafizuddin Omar

Kategori perseorangan lelaki dalam saingan Guwahati Masters 2023 terus diserikan wakil Malaysia apabila Cheam June Wei dan Justin Hoh berjaya meluncur ke peringkat separuh akhir.

June Wei yang menghuni ranking ke-63 dunia terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas berhasil menundukkan Kartikey Kumar menerusi tiga set permainan yang berlangsung hampir satu jam menerusi skor 14-21, 21-12 dan 21-9.

Kemenangan itu membawa June Wei bertemu pemain muda Indonesia yang berusia 20 tahun, Yohanes Saut Marcellyno untuk merebut tiket ke perlawanan akhir, pada hari esok.

Sementara itu, Justin pula turut melakar kemaraan selepas mengejutkan pemain No.5 Indonesia, Alwi Farhan.

Bagaimanapun kemaraan itu tidak dilakar dengan mudah dimana Justin terpaksa mengharungi pertarungan selama satu jam dan tujuh minit sebelum mengecapi kemenangan menerusi skor 17-21, 22-20 dan 21-17.

Menantinya di peringkat separuh akhir adalah seorang lagi pemain Indonesia iaitu Alvi Wijaya Chairullah yang berusia 21 tahun dan menghuni ranking ke-206 dunia.

Sebagai tambahan, Alva merekodkan kemaraan selepas mencipta kejutan ke atas pemain Perancis yang menduduki ranking ke-45 dunia menerusi skor 19-21, 21-11 dan 21-17 dalam tempoh masa satu jam dan satu minit.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen