Kejuaraan Piala Malaysia Lengkapkan ‘Double Quadruple’ JDT
December 8, 2023 Hafizuddin Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) menempa sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan apabila melengkapkan gelaran “double quadruple” susulan merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2023.

Kejuaraan Piala Malaysia tahun ini menjadi milik JDT apabila skuad berjulukan Harimau Selatan ini membaham Terengganu FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, JDT melakar kemenangan hasil jaringan penyerang berbisanya, Bergson da Silva menerusi sepakan penalti pada minit keenam dan tandukan pemain gantiannya, Feroz Baharudin pada minit ke-73.

Pada penghujung permainan, minit ke-90+4, JDT berhasil mendapatkan satu lagi sepakan penalti dan ianya turut dijayakan dengan cemerlang oleh Arif Aiman sekaligus mematikan semangat perjuangan Terengganu.

Sementara itu, Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner pula menjaringkan gol tunggalnya menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ivan Mamut pada minit ke-21.

Kedudukan 3-1 itu kekal tanpa sebarang jaringan tambahan daripada kedua-dua belah pasukan sehingga pengadil perlawanan, S. Logeswaran meniup wisel menamatkan permainan yang disaksikan seramai 80,550 penonton di stadium.

Untuk makluman, ini merupakan trofi keempat diraih skuad kendalian Esteban Solari pada musim ini selepas berjaya merangkul trofi Piala Sumbangsih, kejuaraan Piala FA dan Liga Super.

Seperti kita sedia maklum, JDT telah merangkul gelaran “quadruple” pada musim lalu. Susulan mengulangi kejayaan yang sama pada musim ini, ianya sekaligus membuatkan Harimau Selatan muncul kelab bola sepak pertama tanah air yang dengan merangkul gelaran “double quadruple”. 

Kejayaan ini secara langsungnya mengatasi rekod Kedah FA (kini dikenali Kedah Darul Aman FC) bimbingan Azraai Khor yang meraih gelaran “double treble” susulan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dua musim berturut-turut pada musim 2006-07 dan 2007-08.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen