Pahang Julang Trofi Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-101
December 11, 2023 Hafizuddin Omar

Kejuaraan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-101 anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) menjadi milik Pahang selepas berjaya menundukkan Terengganu FA dalam perlawanan akhir, semalam.

Aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu menyaksikan Pahang muncul juara selepas menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-1 ke atas Terengganu FA.

Kemenangan penuh bergaya itu hasil jaringan berganda oleh Muhammad Fitri Aziq (27’, 72’) serta satu gol masing-masing daripada Muhammad Zarih Izzuddin (72’) dan Muhammad Amin Che Jusoh (92’).

Sementara itu jaringan tunggal Terengganu FA pula dicipta oleh Muhammad Adli Abd Rahman (38’) menerusi sepakan penalti.

Hasil kemenangan ini, selain dapat membawa pulang trofi, Pahang turut meraih wang kemenangan bernilai RM80,000 berserta medal manakala Terengganu FA kendalian Wan Adremy Indera mendapat wang tunai sebanyak RM40,000 dan juga medal.

Sebagai rekod, kejayaan Pahang bimbingan Mohd Yazeed Hamzah menjulang kejuaraan PERR pada malam tadi adalah yang pertama selepas menjuarainya buat kali terakhir pada edisi 2018.

Featured Image: Facebook YB Fadzli Mohamad Kamal

Komen