FAM Ada Sebab Tak Dapat Lantik Pengadil FIFA Kendali Final Piala Malaysia 2023
December 11, 2023 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai sebab tersendiri memilih S. Logeswaran yang bukan dalam senarai Pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Pertamanya, badan induk bola sepak tanah air itu menjelaskan pihaknya tidak dapat melantik enam pengadil negara yang berada dalam senarai FIFA atas faktor empat daripadanya tidak berstatus berkecuali.

Dimaklumkan Razlan Joffri dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu manakala Tuan Yassin Tuan Hanafiah pula merupakan pengadil berdaftar di Johor. Sementara itu, Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar di Johor.

Pada masa yang sama, baki dua lagi pengadil negara yang berada dalam senarai FIFA berada di luar negara iaitu Suhaizi Shukri (Kedah) bertugas untuk Piala AFC sementara Nazmi Nasaruddin (Pulau Pinang) pula berada di Arab Saudi bagi tugasan pengadil.

“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media pada hari ini.

Sebagai tambahan, Logeswaran juga merupakan pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dan merupakan Pengadil Kebangsaan Kategori A.

Untuk makluman, pemilihan Logeswaran yang bukan merupakan dalam senarai Pengadil FIFA menjadi menjadi polemik selepas keputusan-keputusan yang dibuatnya ketika mengendalikan perlawanan akhir pada Jumaat lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mengundang pertikaian ramai.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen