Artikel

Dua Keputusan Logeswaran Tepat Selepas Penelitian Rakaman Video – FAM

Keputusan yang dibuat oleh S. Logeswaran ketika mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC pada Jumaat lalu dipertikaikan ramai peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

Antara yang menjadi pertikaian rancak dalam kalangan peminat dan penyokong adalah keputusan memberikan sepakan penalti selepas Fernando Forestieri dijatuhkan dengan sentuhan ‘lembut’ dalam kotak penalti sekitar minit kelima.

Seterusnya, tindakan Logeswaran yang pada awalnya dilihat tidak memberikan sepakan penalti selepas Ivan Mamut dikasari dan dijatuhkan dalam kotak penalti sekitar minit ke-19 turut mengundang perbincangan hangat.

Selepas dikerumun oleh pemain Terengganu yang cuba membantah tindakan itu dan melihat isyarat yang diberikan oleh pembantu pengadil tambahan, barulah Logeswaran memberikan sepakan penalti kepada skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Namun begitu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini menyatakan keputusan-keputusan dilakukan Logeswaran tersebut  adalah tepat selepas meneliti rakaman video.

“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama Johor Darul Ta’zim pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Johor Darul Ta’zim dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.”

“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC.” jelasnya.

Dalam satu kenyataan media yang sama, FAM turut memaklumkan memilih Logeswaran yang tidak berada dalam dalam senarai Pengadil FIFA atas faktor Logeswaran dari Selangor berstatus berkecuali selain terdapat pengadil negara yang mempunyai tugasa di luar negara.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen