Kedah Kutip Sekitar RM2 Juta Menerusi Jualan Tiket Musim 2023
December 11, 2023 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) meraih pendapatan kasar sekurang-kurangnya sekitar RM2 juta menerusi penjualan tiket pada musim 2023.

Menerusi perkongsian di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, Kedah memaklumkan sebanyak 135,352 keping tiket telah terjual bagi 16 perlawanan yang berlangsung di gelanggangnya sendiri, Stadium Darul Aman.

Jumlah penjualan tiket di stadium berkapasiti 24,644 tempat duduk yang terletak di ibu negeri, Alor Setar itu merangkumi 13 perlawanan Liga Super serta 1 perlawanan Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup masing-masing.

Pada musim ini, skuad berjulukan Sang Kenari menetapkan tiga kategori harga bagi penjualan tiket (dewasa) di Stadium Darul Aman iaitu RM15, RM25 dan RM35 bagi kategori Terbuka, Pavilion dan Grandstand masing-masing.

Berdasarkan kiraan kasar, sekiranya 135,352 keping tiket tersebut dijual pada harga RM15 – kategori termurah – Kedah akan meraih kutipan sekurang-kurangnya sebanyak RM2,030,280 pada musim ini.

Untuk makluman, tiket perlawanan kedua Liga Super melibatkan Kedah dan Terengganu FC yang terjual sebanyak 20,933 keping merupakan yang tertinggi dicatatkan mereka pada musim ini.

Manakala perlawanan ke-23 menentang Negeri Sembilan FC yang berlangsung pada waktu petang muncul yang terendah direkodkan iaitu sebanyak 1,164 keping tiket sahaja.

Sementara itu, perlawanan ke-25 Liga Super menentang Selangor FC pada 2 Disember lalu yang dihadiri 20,894 orang menjadi perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada musim ini.

Untuk perlawanan terakhir Liga Super, Kedah bimbingan Nafuzi Zain akan beraksi di tempat lawan iaitu Stadium Likas bagi menghadapi Sabah FC.

Secara puratanya, Kedah merekodkan mencatatkan jualan sebanyak 8,459 keping tiket bagi setiap perlawanan pada musim ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)

Komen