Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) pada ketika ini, Tomislav Steinbruckner dari Croatia dipersetujui untuk kekal mengemudi skuad berpangkalan di pantai timur itu pada musim 2024-25.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, YB Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu hantaran di platform media sosial, Facebook Pages peribadinya, pada hari ini.
Menurutnya, nama Tomislav telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan menerusi satu kertas laporan pembentangan cadangan barisan kejurulatihan dalam satu Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah pada 14 November lalu bersama-sama pemilihan Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC.
Pada masa yang sama, TFC yang berhasil muncul naib juara Piala Malaysia 2023 akan turut sama menerima seorang Pengarah Sukan pada musim hadapan.
“Antara senarai nama yang dikemukakan ialah Ketua Jurulatih sekarang dan beliau telah dipersetujui untuk terus membimbing pasukan TFC.” katanya
“Seorang Sporting Director (Pengarah Sukan) juga telah dipersetujui dan dinamakan untuk dilantik atas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC sendiri untuk menguruskan perjalanan pasukan TFC secara lebih berobjektif dan berstrategi juga telah dipersetujui mesyuarat ALP TFC Sdn Bhd.” tambahnya lagi.
Hishamuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu menjelaskan Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan ditubuhkan oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd bagi mengelakkan campur tangan peribadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah serta CEO dan COO dalam pembentukan pasukan di bawah TFC.
Difahamkan, Jawatankuasa Teknikal & Pemilihan turut sama disertai barisan kejurulatihan dan telah diberikan mandat untuk mengemukakan cadangan barisan kejurulatihan dan pemain untuk setiap pasukan di bawah TFC pada musim hadapan.
Sebagai tambahan, Hishamuddin memaklumkan rundingan gaji, kandungan kontrak, surat tawaran dan lain-lain perkara akan diuruskan oleh pihak pengurusan TFC Sdn Bhd secara tertib dan mengikut kelulusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
Featured Image: Terengganu FC