Artikel

Jelajah Dunia Akhir: Cabaran Sukar Menanti Aaron-Wooi Yik Peringkat Kumpulan

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan berhadapan cabaran sukar pada peringkat kumpulan dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 yang bermula 13 Disember di Hangzhou, China.

Hasil undian yang dilakukan semalam menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ketiga dunia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama gandingan No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang; beregu No.8 dunia juga dari China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi serta beregu No.7 dunia dari Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Berdasarkan pertemuan-pertemuan lalu, Aaron-Wooi Yik tidak mempunyai rekod yang begitu baik apabila menentang ketiga-tiga pasangan terbabit.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik yang turun menentang Wei Keng-Chang sebanyak enam kali hanya berhasil melakar satu kemenangan sahaja setakat ini.

Sementara itu, Yu Chen-Xuan Yi yang pernah dihadapinya sebanyak lima kali hanya berjaya merekodkan dua kemenangan manakala lapan pertemuan menentang Hoki-Kobayashi pula berakhir dengan dua kemenangan sahaja.

Sepasang lagi wakil negara yang beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF adalah beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei – juga bakal berhadapan dengan laluan yang sukar untuk melepasi peringkat saingan peringkat kumpulan. 

Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking kesembilan dunia yang julung kalinya layak beraksi di di saingan ini turut sama diundi dalam Kumpulan A bersama-sama beregu No.2 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino; beregu No.4 dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping serta beregu No.5 dunia dari Thailand, Dechapol Puavanukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen