Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berharap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria kekal menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan jawatan selaku presiden pada penghujung bulan ini.
Hannah menerusi satu hantaran di laman sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) melemparkan harapan sedemikian berikutan temasya Sukan Olimpik 2024 Paris akan berlangsung dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Pada masa yang sama, majoriti atlet yang tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) – program untuk membantu atlet membutirkan pingat emas – pula terdiri daripada majoriti pemain-pemain badminton.
“Kita perlu fokus dan kurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini,” tulisnya di laman sosial tersebut.
(1) RTG has been set up to survive abrupt leadership changes in KBS or MOM by having 2 co-chairs. Having said that, I do hope my co-chair Tan Sri Norza will reconsider his decision to step down as @BA_Malaysia president end of this year. https://t.co/90CRi1Amwp
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) December 12, 2023
Antaranya pemain badminton yang tersenarai dalam program RTG ialah Ng Tze Yong, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin & Teo Ee Yi, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie & Toh Ee Wei.
Tambah Hannah lagi, program RTG diwujudkan untuk menangani perubahan kepimpinan secara tiba-tiba di dalam KBS (Kementerian Belia dan Sukan) atau MOM dengan mempunyai dua Pengerusi Bersama (co-chairman).
Untuk makluman, pada Ogos lalu, Norza membuat pengumuman yang mengejutkan untuk meletakkan jawatan selaku Presiden BAM dengan lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini berbanding perancangan asalnya selepas selesai Sukan Olimpik 2024 Paris.
Difahamkan, Norza mahu menumpukan perhatiannya selaku Presiden MOM selain peranannya sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BA) serta Pengerusi Jawatankuasa Sukan Untuk Semua Majlis Olimpik Asia (OCA) selain berada dalam Lembaga Eksekutif OCA.
Susulan hasratnya untuk melepaskan kerusi No.1 BAM, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah dipersetujui sebulat suara sebagai pengganti Norza dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM, pertengahan Oktober lalu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia