Ranking BWF: Juara Guwahati Masters Hampiri Kelompok 50 Terbaik
December 12, 2023 Hafizuddin Omar

Kejayaan Muhammad Haikal Nazri dan Choong Hon Jian merangkul kejuaraan di Guwahati Masters 2023 menepati ramalan yang akan meletakkan mereka mendekati kelompok 50 terbaik dalam Ranking Dunia.

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, kejayaan pemain berusia 20 dan 23 tahun masing-masing itu telah melonjakkan kedudukan mereka sebanyak 17 anak tangga dan kini berada di ranking ke-52 dunia.

Lonjakan besar yang direkodkan Haikal-Hon Jian itu disumbangkan oleh 5,500 mata yang diperolehi selaku juara Guwahati Masters 2023 – salah satu kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100.

Pada saat ini, hasil pertambahan mata itu menjadikan Haikal-Hon Jian kini mengumpul 30,120 mata secara keseluruhan.

Sebagai rekod, Haikal-Hon Jian baru sahaja merekodkan peningkatan memberangsakan pada minggu lalu – lonjakan sebanyak 24 anak tangga – susulan menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023. 

Sementara itu, kedudukan tiga daripada beregu lelaki terbaik negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kekal tidak berganjak di kedudukan ketiga, ke-19 dan ke-26 dunia masing-masing.

Hanya beregu lelaki besar (independent) negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi sahaja mencatatkan penurunan iaitu sebanyak satu anak tangga dan kini menghuni tangga ke-12 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen