Ranking BWF: Pang Ron-Su Yin Mendaki 20 Anak Tangga
December 12, 2023 Hafizuddin Omar

Kedudukan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin dalam Ranking Dunia tetap meningkat biarpun terkandas seawal peringkat pusingan 16 dalam saingan Guwahati Masters 2023 pada minggu lalu.

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Pang Ron-Su Yin melakar lonjakan sebanyak 20 anak tangga – peningkatan tertinggi dalam kalangan beregu campuran negara – sekaligus meletakkannya pada tangga ke-92 dunia.

Secara keseluruhannya, gandingan sejak awal November lalu ini telah mengumpul 13,760 mata.

Sementara itu, kemaskini pada hari ini turut memperlihatkan beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei merekodkan kedudukan tertinggi dalam karier mereka apabila diletakkan pada ranking kelapan dunia.

Kedudukan itu dihuninya selepas merekodkan peningkatan sebanyak satu anak tangga berbanding tangga kesembilan dunia yang didudukinya sejak 20 November lalu.

Bagaimanapun, kedudukan dua beregu campuran bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai serta Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing merekodkan penurunan sebanyak satu dan empat anak tangga masing-masing dalam kemaskini kali ini.

Penurunan terbabit menjadikan Soon Huat-Shevon kini berada di ranking ke-15 dunia manakala Kian Meng-Pei Jing pula berada pada ranking ke-25 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen