Status Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai salah satu seteru Terengganu FC dalam kancah bola sepak tanah air bukanlah batu penghalang buat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim untuk mendapatkan bimbingan daripada pemiliknya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk memperkasakan pasukannya.
Menurut Hishamuddin, JDT atau nama julukannya, Harimau Selatan yang baru sahaja mengesahkan gelaran “double quadruple” setelah menjulang keempat-empat trofi utama dalam saingan Liga Malaysia selama dua musim berturut-turut sebagai pasukan serba lengkap dan akan terus dijadikan model buat Terengganu.
Pada masa yang sama, Tunku Ismail merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga mahu melihat Terengganu digilap dengan lebih baik agar mempunyai masa depan yang lebih dalam kancah bola sepak tanah air.
“Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat pasukan TFC (Terengganu) menjadi pasukan yang perlu digilap untuk masa depan yang lebih baik dalam kancah bola sepak negara,” tulisnya menerusi satu hantaran di platform media sosial, pada hari ini, selepas bertemu TMJ, baru-baru ini.
Biarpun dijadikan sebagai model ataupun contoh ikutan, Hishamuddin yang turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC menegaskan perkara tersebut tidak menghalang skuad Hitam Putih memberikan tentangan yang sengit kepada JDT ditonjolkan ketika beraksi merebut kejuaraan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat lalu.
Namun begitu, dalam usaha untuk membangkitkan pasukan, Hishamuddin menjelaskan Terengganu akan menggunakan pendekatan ukur baju di badan sendiri selain memperkasakan pembentukan bakat-bakat baharu yang lebih berprestij sepertimana kebiasaannya akhir-akhir ini.
Menjelaskan dengan lebih terperinci, Hishamuddin yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu pendekatan itu diambil dalam keadaan sedar dengan situasi semasa terutamanya bagi menghadapi saingan musim hadapan yang lebih mencabar dalam aspek kewangan.
“TFC (Terengganu) akan berusaha berbelanja dengan sederhana,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, para penyokong dan peminat skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air ini boleh menjangkakan Terengganu bimbingan Tomislav Steinbruckner dari Croatia akan turut dibarisi dengan pemain-pemain muda berbakat dalam menghadapi saingan musim 2024-25 kelak.
Sebagai rekod, ini bukanlah julung kalinya Hishamuddin bertemu TMJ selaku pemilik JDT untuk belajar serta mendapatkan nasihat yang berguna buat pasukannya.
Beliau yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Presiden PBSNT I serta Timbalan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu sudah pernah bertemu TMJ pada tahun 2018 – sehari selepas Terengganu menyingkirkan JDT pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia – ketika melawat dan melihat sendiri Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam yang disifatkannya berada dalam kelas tersendiri.