3 Prospek Harimau Malaya Lanjut Kontrak Bersama Terengganu Sehingga 2026
December 13, 2023 Hafizuddin Omar

Tiga pemain muda yang membantu Terengganu FC II menjulang kejuaraan edisi sulung Piala MFL – saingan liga simpanan bawah 23 tahun (B-23) – bersetuju untuk menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Terengganu FC.

Pemain-pemain yang dimaksudkan itu adalah pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, 20 tahun, dan Muhammad Safwan Mazlan, 21 tahun, serta penyerang, Muhammad Syahmi Zamri, 23 tahun.  

Menurut makluman kelab, ketiga-tiga pemain yang terkenal dengan nama panggilan Ubai, Safwan dan Syahmi ini memutuskan untuk kekal menyarung jersi Hitam Putih sehingga tahun 2026 dimana ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner turut meletakkan mereka sebagai prospek penting dalam perancangannya untuk menghadapi saingan bola sepak musim hadapan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Bahkan sepanjang musim ini, ketiga-tiga pemain ini telah menjadi taruhan Tomislav dalam beberapa perlawanan domestik termasuk saingan peringkat antarabangsa iaitu Piala AFC.

Berdasarkan statistik, Safwan telah merekodkan 17 penampilan dalam saingan Liga Super disamping dua dan enam penampilan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia masing-masing.

Sementara itu, Syahmi pula tampil sebanyak 9 kali dalam saingan Liga Super diiringi dengan sebanyak enam kali dalam kancah Piala Malaysia. Manakala Ubai pula merekodkan enam penampilan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia masing-masing.

Pada masa yang sama, Tomislav turut meramalkan ketiga-tiga pemain ini mempunyai kualiti untuk menyarung jersi skuad kebangsaan yang berjulukan Harimau Malaya, pada masa akan datang.

Sebagai tambahan, ketiga-pemain ini menjadi sebahagian daripada taruhan utama ketua jurulatih, Hairuddin Omar dalam membantu Terengganu FC II melakar kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras sekaligus menjulang trofi kejuaraan serta mengggondol ganjaran wang tunai sebanyak RM500,000.

Featured Image: Terengganu FC II

Komen