Jelajah Dunia Akhir: Aaron-Wooi Yik Bermula Langkah Kiri
December 13, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memulakan kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2023 dengan langkah kiri apabila tumpas aksi pertama peringkat Kumpulan A, hari ini.

Langkah malang itu tercipta ketika turun bertemu beregu dari negara matahari terbit yang berada pada ranking ketujuh dunia, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Bagaimanapun, kekalahan itu hadir selepas Aaron-Wooi Yik memberikan tentangan sengit kepada Hoki-Kobayashi dalam pertarungan yang berlangsung lebih satu jam.

Ianya berkesudahan dengan Aaron-Wooi Yik tumpas menerusi tiga set permainan berskor 16-21, 21-14 dan 21-18.

Susulan keputusan itu, Hoki-Kobayashi turut melebarkan rekod pertemuan ke atas Aaron-Wooi Yik di kejohanan antarabangsa kepada enam kemenangan daripada lapan pertarungan secara keseluruhan.

Pada masa yang sama, kekalahan ini meletakkan Aaron-Wooi Yik di tangga ketiga Kumpulan A – di bawah gandingan Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi serta Hoki-Kobayashi.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang berada pada ranking ketiga dunia dijadualkan bertemu beregu Yu Chen-Xuan Yi pada perlawanan seterusnya, hari esok.

Beregu kelapan dunia ini berhasil memulakan saingan peringkat kumpulan dengan langkah kanan menumpaskan rakan senegaranya yang berada di ranking pertama dunia, Liang Wei Keng dan Wang Chang.

Pertarungan itu dimenangi Yu Chen-Xuan Yi menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-18, 16-21 dan 21-16 dalam tempoh 54 minit.

Sebagai tambahan, hanya dua beregu terbaik kumpulan sahaja akan layak mara ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen