Kekalahan beregu campuran No.4 dunia, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping di tangan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei pada Terbuka Thailand 2023 akhirnya terbalas.
Kekalahan itu terbalas ketika turun berhadapan Tang Jie-Ee Wei pada perlawanan pertama Kumpulan A dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2023, sebentar tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang berada pada tangga kelapan dunia terpaksa akur tumpas secara “straight set” menerusi skor 10-21 dan 13-21 dalam tempoh 38 minit permainan.
Sebagai rekod, ketika beraksi dalam saingan Terbuka Thailand pada penghujung Mei lalu, Tang Jie-Ee Wei menang ke atas Yan Zhe-Dong Ping menerusi tiga set permainan berskor 15-21, 21-19 dan 21-19 dalam tempoh lebih satu jam permainan.
Susulan kekalahan ini, Tang Jie-Ee Wei kini menghuni kedudukan tercorot dalam Kumpulan A.
Untuk perlawanan seterusnya, Tang Jie-Ee Wei akan turun berhadapan beregu No.2 dunia dari Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino.
Ketika turun pada aksi pertamanya pada hari ini, Yuta-Arisa berhasil merekodkan kemenangan ke atas beregu handalan Thailand, Dechapol Puavanukroh dan Sapsiree Taerattanachai secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-14.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia