Artikel

MOM Cadang Tabung Untuk Pembikinan Filem-Filem Sukan

Kejayaan para atlet serta detik manis pasukan kebangsaan meraih kejuaraan di pentas antarabangsa seharusnya difilemkan untuk tatapan orang ramai.

Sepertimana ramai ketahui, kisah-kisah kejayaan atlet di dalam mana-mana bidang sukan boleh memberi sumber inspirasi terutamanya kepada anak-anak muda selain menjadi alat penyatuan kepada rakyat secara keseluruhannya.

Namun demikian, sedar akan kekurangan nilai komersil serta kos buat pembikin filem untuk mengetengahkan kisah-kisah sebegini maka Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria mencadangkan sebuah tabung diwujudkan bagi tujuan itu.

“Kita nak memohon kepada pihak kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan dan juga KBS untuk melihat bagaimana kita nak adakan satu peruntukan untuk kita mewujudkan mungkin satu tabung supaya membantu mereka-mereka yang berminat untuk melahirkan filem-filem yang melambangkan kejayaan sukan kita.

“Bukan itu saja yang boleh menyatukan rakyat kita dan menjadi satu komponen ataupun alat penyatuan kepada masyarakat kita kerana melalui sukanlah mereka akan rasa patriotik, mereka akan rasa bersemangat dan memberi sumber inspirasi kepada anak-anak muda untuk ikut jejak ahli-ahli sukan ini.

“Ini adalah salah satu cara kita untuk memberi terutama generasi muda agar mereka berminat untuk menceburi bidang sukan,” katanya ketika ditemui pengamal media selepas acara tayangan khas Gemencheh Boys bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan di Bukit Jalil, semalam.

Pada masa yang sama, MOM yang mempunyai arkib boleh menjadi perunding kepada pembikin filem untuk memilih atlet-atlet serta detik-detik kejayaan pasukan kebangsaan yang boleh diangkat untuk dijadikan filem yang mengesankan orang ramai.

Pada pandangan Norza, kehebatan dan kejayaan bekas atlet skuasy serta boling tanah air, Datuk Nicol David dan Datuk Shalin Zulkifli antara yang boleh dijadikan filem. Tidak dilupakan, kejayaan skuad negara menjulang Piala Thomas 1992 turut sama boleh dibawa ke layar perak.

komen