Jelajah Dunia Akhir: Tang Jie-Ee Wei Kejutkan Beregu No.2 Dunia
December 14, 2023 Hafizuddin Omar

Sejak bergandingan bersama, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei belum pernah melakar sebarang kemenangan apabila bertemu Yuta Watanabe dan Arisa Higashino – beregu campuran No.2 dunia.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila Tang Jie-Ee Wei melakar kejutan ke atas pasangan berkenaan ketika turun pada aksi kedua Kumpulan A dalam Jelajah Dunia Akhir BWF 2023, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang berada pada ranking kelapan dunia berhasil memuktamadkan kemenangan ke atas Yuta–Arisa setelah bertarung sebanyak tiga set permainan dalam tempoh masa sekitar satu jam.

Tang Jie-Ee Wei menggapai kemenangan menerusi skor 12-21, 21-16 dan 21-16 sekaligus menghidupkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir edisi kali ini.

Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei pernah bertembung Yuta-Arisa sebanyak dua kali sebelum ini di Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka Singapura pada Ogos dan Jun lalu.

Kedua-dua pertemuan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur tumpas secara “straight set” masing-masing.

Esok, Tang Jie-Ee Wei akan turun beraksi dalam perlawanan akhir Kumpulan A menentang wakil Thailand yang berada pada ranking keenam dunia, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen