Harapan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh agar Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria mempertimbangkan semula hasrat untuk meletakkan jawatan selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi kenyataan.
Perkara ini hadir selepas Norza mengumumkan dirinya membuat pusingan-u dan kekal sebagai Presiden BAM buat masa ini selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BAM Kali Ke-4 bagi tahun 2023 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.
“Selepas melakukan pertimbangan yang sebaiknya dan sebagai respon terhadap galakan diterima daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dan juga selepas mempertimbangkan dan berbincang dengan Ahli Majlis BAM, saya memutuskan untuk kekal sebagai Presiden BAM,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Difahamkan, pengekalan Norza sebagai Presiden BAM adalah sehingga tamat penggalnya pada tahun 2025.
Norza mejelaskan pusingan-u terhadap perletakan jawatannya itu adalah disebabkan permintaan daripada Hannah merangkap Pengerusi Bersama Road To Gold (RTG) yang tidak mahu persiapan ke Sukan Olimpik terkesan lebih-lebih lagi Program RTG dibarisi majoriti pemain-pemain badminton.
“Ia memerlukan satu koordinasi yang fokus terhadap pemain-pemain tersebut dan apa yang kita buat proses ini telah menuju kepada (Sukan) Olimpik seharusnya tidak ada perkara yang mengganggu-gugat daripada segi persiapan tersebut,”
“Saya hormat dia sebagai menteri, saya dah cakap banyak kali, sebagai rakan daripada segi Pengerusi Bersama RTG kami (saling) bekerja dengan baik dan saya faham benda itu,”
“Saya nak ucap terima kasih kerana ia juga memberi satu pengiktirafan kepada BAM bahawa kita mendapat sokongan dan keprihatinan daripada beliau untuk menentukan BAM sebagai badan yang ditadbir secara baik selama ini.” jelasnya.
Pada masa yang sama, Norza memaklumkan telah berhubung dengan calon yang dinamakan sebagai penggantinya sebelum ini, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Beliau memahami situasi semasa dan mempunyai pemikiran yang sama bahawa BAM sepatutnya menyerahkan (jawatan) kepadanya apabila tiba masa yang sesuai, kami sedang melalui proses perbincangan tetapi sekali lagi tumpuan kami pada saat ini (adalah) kami hanya mempunyai baki 7-8 bulan sebelum (Sukan) Olimpik, ayuh tumpukan perkara itu,” tambahnya.
Untuk makluman, sebelum ini Norza membuat pengumuman mengejutkan untuk melepaskan jawatan selaku Presiden BAM selepas selesai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai sebelum memaklumkan untuk mengawalkan lagi hasratnya untuk meletakkan jawatan pada Disember tahun ini kira-kira setengah bulan kemudian.