Artikel

JDT Juarai Liga Super Tanpa Kalah 2 Musim Berturut-Turut

Pasukan yang dimiliki Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) menempa satu lagi sejarah baharu dalam kancah bola sepak tanah air apabila menjuarai saingan Liga Super tanpa sebarang kekalahan dua musim berturut-turut.

Sepertimana kita ketahui, skuad berjulukan Harimau Selatan ini telah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super 2023 pada 27 September lalu selepas menundukkan PDRM FC ketika saingan masih lagi berbaki empat perlawanan.

Namun begitu, JDT mengesahkan gelaran “The Invincible” buat dua musim berturut-turut selepas menamatkan perlawanan terakhir liga musim ini dengan kemenangan besar 8-0 ke atas Penang FC, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di lamannya sendiri, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menyaksikan JDT mencatatkan kemenangan hasil empat jaringan oleh Arif Aiman (5’, 47’, 52’ dan 90’+6), jaringan berganda daripada Bergson da Silva (18’, 33’) serta satu jaringan oleh Akhyar Rashid (41’) dan Heberty Fernandes (43’) masing-masing.

Secara keseluruhannya, skuad bimbingan Esteban Solari telah menutup saingan musim ini dengan mengumpul 76 mata hasil daripada 25 kemenangan dan 1 keputusan seri. Sepanjang tempoh itu, JDT turut menjaringkan 100 gol serta hanya bolos sebanyak 7 kali – paling sedikit dalam kalangan 14 buah pasukan.

Sebagai tambahan, ini juga merupakan kali keempat JDT menamatkan saingan dengan gelaran “The Invincible” selepas turut melakukannya pada musim 2016 serta ketika musim 2020 yang berlangsung secara sepusingan sahaja.

Pada masa yang sama, selain trofi, mengiringi kejuaraan Liga Super yang kesepuluh berturut-turut buat JDT pada kali ini adalah wang ganjaran sebanyak RM2.4 juta serta slot ke saingan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACL Elite) musim 2024-25.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen