Artikel

Harimau Muda Lawan China Sebagai Persiapan Ke Piala Asia B-23

Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) akan berhadapan dua perlawanan antarabangsa menentang China B-23 sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar pada April tahun hadapan.

Menurut makluman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad berjulukan Harimau Muda ini dijadualkan menentang China B-23 sebanyak dua kali iaitu pada 23hb (Sabtu) dan 26hb Disember (Selasa) masing-masing dalam perlawanan antarabangsa Tier 2.

Dua perlawanan yang bakal berlangsung di Shanghai, China menjadi ujian pertama Juan Torres Garrido sejak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Muda yang baharu pada 12 Oktober lalu.  

Dalam makluman yang sama, FAM turut menyenaraikan 24 pemain yang terpilih untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang akan bermula 19hb di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Antara yang tersenarai adalah Syahmi Adib, Mukhairi Ajmal, Ruventhiran, Zikri Khalili, Syahir Bashah, Aliff Izwan Yuslan, Abu Khalil (Selangor FC), Daryl Sham, Najmuddin Akmal, Fergus Tierney, Umar Hakeem dan Firdaus Ramli (Johor Darul Ta’zim). 

Senarai itu diikuti Alif Zikri, Aiman Khairul, Firdaus Ahmad (Perak FC), Rahadiazli Rahalim, Safwan Mazlan (Terengganu FC), Azim Al Amin, T. Saravanan (KL City FC), Alif Ikmalrizal (Penang FC), Saiful Jamaluddin (Sri Pahang FC) dan Luqman Hakim Shamsuddin (KV Kortrijk).

Menurut FAM, seramai tiga pemain yang menyertai kem latihan edisi terdahulu, 13hb hingga 21hb November lalu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili, Adam Farhan dan Haqimi Azim tidak disenaraikan pada kem latihan kali ini kerana mengalami kecederaan.

Sebagai tambahan, skuad Harimau Muda dijadualkan berlepas ke Shanghai pada 21 Disember (Khamis) dan pulang ke tanah air pada 27 Disember.

Untuk makluman semua, Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan D dalam saingan Piala Asia B-23. Mereka akan memulakan kempen dengan menentang Uzbekistan pada 17hb April diikuti Vietnam dan Kuwait pada 20hb dan 23hb April masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen