Artikel

Kelab Milik Norizam Tercorot Liga Super, Kutip 8 Mata & Bolos 121 Gol

Kelantan FC yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman menutup tirai saingan Liga Super selaku pasukan tercorot dengan hanya mengutip lapan mata daripada 26 perlawanan yang diharungi sepanjang musim 2023.

Kedudukan itu turut diiringi dengan rekod bolos 121 gol serta jumlah perbezaan gol sebanyak 92 – tertinggi dalam kalangan 14 pasukan yang bertanding dalam kancah Liga Super musim ini.

Kedudukan tercorot serta rekod buruk terbabit dimuktamadkan apabila kelab berjulukan The Red Warriors (TRW) tewas besar di tangan seteru setempatnya, Kelantan United FC dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Dalam perlawanan yang dihadiri seramai 315 penonton tersebut, Kelantan tewas dengan keputusan 2-6 di tangan Kelantan United atau nama julukannya, Sang Kijang Hijau.

Dua jaringan oleh Kelatan terhasil menerusi Arif Jazimin Yusoff (13’ dan 26’) manakala enam gol oleh Kelantan United pula tercipta melalui S. Sharvin (48’ dan 75’), Hafiy Haikal (29’), Ismaheel Akinade (60’), Royizzat Daud (90’+2) dan Indra Putra (90’+3).

Pada masa yang sama, kedudukan tercorot yang diraih Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini sekaligus membuat sasaran yang diletakkan oleh Norizam sebelum bermulanya kempen musim ini tidak tercapai.

Sementara itu, Kelantan United pula menutup saingan Liga Super musim ini di tempat ke-12 dengan kutipan mata sebanyak 17 mata.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen