Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo iaitu Sabah FC berjaya menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat ketiga sekaligus mengaut hadiah ganjaran bernilai RM1.5 juta.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memuktamadkan kedudukan tersebut selepas menumpaskan penghuni kedudukan tersebut, Kedah Darul Aman FC (Kedah) pada perlawanan terakhir liga, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu menyaksikan Sabah berhasil melakar kemenangan menerusi keputusan 2-0 hasil jaringan Irfan Fazail (7′) dan Ramon Machado (43′).
Kemenangan itu membolehkan Sabah mengumpul 54 mata dan merampas kedudukan ketiga serta menolak Kedah yang mempunyai 53 mata ke kedudukan keempat Liga Super.
Sebagai rekod, kejayaan menghuni kedudukan ketiga pada musim ini menyamai pencapaiannya dalam saingan Liga Super 2022.
Sementara itu, Kedah kendalian Nafuzi Zain yang menutup musim ini di tangga keempat meraih ganjaran sebanyak RM1.2 juta – perbezaan sebanyak RM300,000 berbanding pasukan di tangga ketiga.
Featured Image: Malaysian Football League