Artikel

Liga Super: Ganjaran RM1 Juta Jadi Milik Terengganu

Wang ganjaran bernilai RM1 juta menjadi milik skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC setelah mengesahkan menutup saingan Liga Super 2023 di tempat keenam.

Pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner mengesahkan kedudukan tersebut selepas menumpaskan Perak FC dalam perlawanan terakhir liga dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Perlawanan yang dihadiri seramai 11,265 penonton itu menyaksikan Terengganu meraih kemenangan menerusi jaringan oleh Ivan Mamut (7’), Engku Nur Shakir (17’) dan Nor Hakim Hassan (81’).

Menerusi kemenangan ini, Terengganu dapat mengumpul 40 mata daripada 26 perlawanan yang dihadapinya sepanjang musim ini sekaligus mempertahankan kedudukan keenam yang dihuninya sejak beberapa minggu lalu.

Selain itu, sepanjang musim ini, Terengganu turut mencatatkan 45 jaringan – keempat terbanyak dalam kalangan pasukan Liga Super musim ini – disamping merekodkan bolos sebanyak 34 kali. 

Sementara itu, pencabar terdekat bagi Terengganu untuk merebut tempat keenam iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) yang merekodkan keputusan seri tanpa jaringan bertemu Sri Pahang pada Sabtu terpaksa berpuas hati menamatkan musim ini di tempat ketujuh dan meraih ganjaran bernilai RM900,000.

Manakala Perak kendalian Yusri Che Lah mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tempat kesebelas dan membawa pulang ganjaran sebanyak RM700,000.

Featured Image: Terengganu FC

komen