Pemain kedua tertua dalam kancah Liga Malaysia yang beraksi bersama Sabah FC, Amri Yahyah mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 42 tahun.
Kemasukannya sebagai pemain gantian sekitar minit ke-85 ketika menentang Kedah Darul Aman FC (Kedah) di Stadium Likas semalam menjadi penampilan terakhirnya selepas 22 tahun bergelar pemain bola sepak.
Bertambah manis, penampilan terakhirnya itu turut diiringi dengan Sabah kendalian Datuk Ong Kim Swee mencatatkan kemenangan 2-0 sekaligus membolehkan Sabah menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ketiga – menyamai pencapaian tahun lalu.
Sebagai rekod, Amri yang menyertai Sabah sejak 2021 telah merekodkan 69 penampilan secara keseluruhan dalam pelbagai pertandingan domestik disamping menjaringkan 9 gol serta mencipta 5 bantuan gol (assist).
View this post on Instagram
Sepertimana kita sedia maklum, Amri memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama Selangor sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United dan Sarawak United.
Sepanjang bergelar pemain profesional, Amri berjaya merangkul kejuaraan Liga Super (5x), Piala FA (4x), Piala Malaysia (2x), Liga Premier (1x), Piala AFC (1x) serta menjulang trofi Piala Sumbangsih sebanyak sekali.
Sementara itu, bersama skuad kebangsaan pula, Amri yang kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya ketika turun menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 telah mengumpul sebanyak 63 kaps.
Tidak dilupakan, Amri juga merupakan sebahagian daripada skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal yang berjaya merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 – kejuaraan julung kalinya diraih skuad kebangsaan sejak pertandingan itu diperkenalkan.
Untuk makluman, hasrat Amri untuk menggantung butnya selepas perlawanan terakhir Liga Super musim ini turut dikongsikan oleh Sabah menerusi satu hantaran di laman-laman sosialnya pada Sabtu lalu.
View this post on Instagram
Featured Image: Sabah Football Club