Kelab Mexico, Amerika & Colombia Buru Pemenang Kasut Emas Liga Super 2023
December 18, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang prolifik dari Colombia, Ayron Del Valle menamatkan kempen sulungnya bersama Selangor FC dalam saingan Liga Super 2023 dengan cemerlang, menjaringkan 23 gol, sekaligus membolehkannya membolot Anugerah Kasut Emas kategori Penjaring Terbanyak Liga Super.

Jumlah jaringan itu cukup signifikan buat majikannya, skuad berjulukan The Red Giants yang membolehkan mereka muncul naib juara Liga Super 2023 serta meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2024-25.

Bagaimanapun, Selangor dilihat berhadapan saingan sukar untuk mengekalkannya memandangkan pemain yang bakal menjengah usia 35 tahun ini turut mendapat tawaran daripada kelab di negara kelahirannya sendiri selain Mexico dan Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

“Tahniah kepada Ayron kerana mendapat (Anugerah) Kasut Emas untuk tahun pertamanya di Malaysia, bukan satu perkara yang mudah untuk dibuat oleh mana-mana pemain asing, satu pencapaian yang sangat baik untuk beliau, kita bergembira dengan pencapaian ini,”

“Sudah tentu Ayron merupakan pemain yang penting untuk kami,”

“Kita sedang berbincang dengan beliau, tetapi pemain macam dia memang ada banyak tawaran dan minat daripada kelab-kelab luar,”

“Saya difahamkan ada kelab dari Mexico, US (Amerika Syarikat) dan Colombia juga berminat untuk mendapatkan khidmat beliau,”

“Jadi, kita kena berbincang dengan lebih lanjut macam mana perancangan untuk tahun depan, tengoklah macam mana, tetapi dia merupakan pemain yang berkualiti tinggi dan sudah tentu Selangor berminat untuk mengadakan perbincangan dengan beliau, kita akan lihat nanti,” katanya ketika ditemui Sukanz selepas perlawanan terakhir liga menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Selain daripada ketajamannya di hadapan gawang, penyerang berketinggian 1.76 meter (m) ini turut berkemampuan untuk menyumbangkan bantuan gol (assist) kepada rakan sepasukannya iaitu sebanyak lima kali.

Pada masa yang sama, Ayron juga merupakan seorang pemain yang berdisiplin di atas padang – sekadar memungut dua kad kuning dan tidak pernah dilayangkan kad merah – dalam saingan liga sepanjang musim ini.

Dalam kancah Piala Malaysia pula, keberadaan Ayron telah menyumbangkan tiga gol buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe setakat peringkat suku akhir.

Featured Image: Selangor FC

Komen