Faktor Tan Cheng Hoe Buatkan Matdon Mahu Ke Selangor?
December 18, 2023 Hafizuddin Omar

Desas-desus mengenai pemain tengah naturalisasi skuad kebangsaan, Liridon Krasniqi untuk menyertai Selangor FC antara topik yang hangat dibincangkan di platform-platform media sosial dalam kalangan peminat bola sepak tempatan akhir-akhir ini.

Dikatakan, desas-desus melibatkan pemain dari Kosovo itu semakin hampir menjadi realiti lebih-lebih lagi skuad berjulukan The Red Giants yang berhasil muncul naib juara Liga Super 2023 kini dikemudi oleh Tan Cheng Hoe.

Difahamkan, Selangor menjadi destinasi baharunya kerana mahu bersatu semula dengan Cheng Hoe – ketua jurulatih yang membimbingnya mencapai kemuncak prestasi di Kedah dari tahun 2015 hingga 2017.

“Liridon menyatakan faktor beliau untuk menyertai Selangor adalah disebabkan ingin berada bawah pengendali kelab tersebut, Tan Cheng Hoe.

“Sebelum ini dia beraksi dengan sangat baik ketika bawah kendalian Cheng Hoe sewaktu kedua mereka sama-sama mewakili Kedah pada beberapa tahun lalu,” kata sumber rapat dengan pemain yang bakal menjengah usia 32 tahun itu sepertimana dipetik daripada Semuanya Bola.

Sepanjang musim ini, Matdon kembali mewarnai kancah Liga Malaysia bersama Terengganu FC bimbingan Tomislav Steinbruckner selaku pemain berstatus pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bersama kelab berpangkalan di pantai timur tersebut, Matdon memainkan peranan penting dalam membantu Terengganu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 selain dipertaruhkan oleh Tomislav dalam saingan Piala FA, Liga Super dan Piala AFC. 

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Matdon beraksi semula dalam saingan domestik selepas dipinjamkan ke beberapa kelab luar negara seperti Newcastle Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand).

Untuk makluman semua, desas-desus yang mengaitkannya ke Selangor bermula menerusi satu hantaran oleh akaun BahasBola di platform media sosial X dimana Liridon sendiri berkongsikan kepada pemilik akaun tersebut mengenai hasratnya itu. 

Pada masa yang sama, Matdon turut mengesahkan kontraknya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada ketika itu telah tamat dan hanya menyambung kontrak lanjutan jangka masa pendek bersama Terengganu iaitu selama sebulan.

Perkara itu dikuatkan lagi menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi yang menyatakan Matdon sendiri telah mengesahkan kepadanya mahu berpisah dengan Terengganu pada penghujung musim dan mencari cabaran baharu pada musim 2024.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen