Artikel

MOM Pertimbang Anjur Sukan SEA 2027 Di Luar Kuala Lumpur

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri Norza Zakaria sedia mempertimbangkan cadangan untuk menganjurkan temasya Sukan SEA 2027 di luar Kuala Lumpur.

Sepertimana kita sedia maklum, Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi temasya dwitahunan pada tahun berkenaan oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) pada Mei tahun lalu.

Buat masa ini, MOM sedang berada dalam fasa pemberitahuan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa Malaysia adalah hos bagi Sukan SEA 2027 dan pelbagai perincian mengenai penganjurannya akan ditetapkan sejurus sahaja mendapat sokongan daripada pihak kerajaan untuk menjadi tuan rumah. 

Ini termasuk cadangan untuk menganjurkannya di Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain.

“Kami akan mempertimbangkan (penganjuran di luar Kuala Lumpur), pertama sekali kerajaan kena sokong, mesti ada peruntukan dan selepas itu kita mesti buat jawatankuasa untuk melihat pelan penganjuran (Sukan SEA) 2027,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Kali Ke-206 dan Perhimpunan Agung Tahunan MOM Kali Ke-42, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Norza turut berharap jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan penganjuran berjalan lancar sepertimana penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC).

Sebagai rekod, selain edisi 2017, Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Untuk makluman, penganjuran pada tahun 1965 dan 1971 dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan SEAP) sebelum ditukar menjadi Sukan SEA bermula tahun 1977.

Featured Image: Kuala Lumpur 2017

komen