Penyerang kelahiran Colombia berusia 26 tahun, Romel Morales nampaknya sudah memiliki kad pengenalan seterusnya menjadi warganegara Malaysia secara rasmi.
Pengesahan itu hadir apabila namanya disenaraikan oleh ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 26 Disember bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari kelak.
Pastinya permohonan penaturalisasian Morales ini diluluskan selepas Morales disahkan beraksi dalam kancah bola sepak tanah air sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut.
Sepertimana kita sedia maklum, Morales mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama PKNS FC pada tahun 2018 dan 2019. Selepas itu, dia berhijrah ke Melaka United pada tahun 2020 sebelum menyertai Kuala Lumpur City FC bermula tahun 2021 hingga sekarang.
Perkembangan ini turut menjadikan Morales sebagai pemain naturalisasi kelapan yang boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick dos Santos dan Paulo Josue.
Sementara itu, senarai yang disiarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini turut memperlihatkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty dan Natxo Insa serta pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee dipanggil semula untuk menyertai kem latihan yang akan bermula 26 Disember nanti di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Selebihnya, 22 pemain yang lain merupakan pemain-pemain yang dipanggil oleh Pan-gon pada kem latihan pusat terdahulu ketika menghadapi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada bulan lalu.
Sebagai tambahan, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Piala Asia 2023 dengan menentang Jordan (15 Januari) diikuti Bahrain (20 Januari) dan akhir sekali, Republik Korea (25 Januari).
Senarai penuh 26 pemain yang dipanggil Pan-gon adalah seperti berikut:
Featured Image: AFC