Kejayaan Selangor FC meraih slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25 diiringi dengan tanda tanya dalam kalangan penyokongnya samada Stadium MBPJ boleh dijadikan sebagai venue perlawanan ataupun perlu beraksi di stadium lain?
Pada saat ini, terdapat kemudahan di stadium berkapasiti sekitar 25,000 tempat duduk yang digunakan oleh skuad Red Giants sejak 2021 itu tidak memenuhi piawaian Peraturan Stadium Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi dijadikan venue perlawanan untuk kejohanan anjuran AFC.
Paling ketara adalah sebahagian besar tempat duduk penyokong tidak dipasangkan dengan tempat duduk tunggal – salah satu kriteria penting di dalam Peraturan Stadium AFC.
Bagaimanapun, para penyokong tidak perlu khuatir lagi akan persoalan itu apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan stadium tersebut akan dinaiktaraf agar memenuhi segala piawaian yang dikehendaki.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Stadium MBPJ (dan) pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menaik taraf beberapa kemudahan di stadium ini,”
“Kerja-kerja itu akan bermula tak lama lagi dan harapnya menjelang permulaan musim baharu, bermula bulan empat insya-allah adalah beberapa penambahbaikan seperti kerusi, pencahayaan, pa system, bumbung, sumber air dan sebagainya,”
“Kita memang ada senarai perkara yang kita sedang bekerjasama dengan MBPJ untuk menaik taraf stadium ini, untuk lebih sesuai dengan prestij ACL2, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan terakhir Liga Super 2023, baru-baru ini.
Difahamkan, usaha dan inisiatif untuk menaik taraf pelbagai kemudahan di stadium itu digerakkan MBPJ selaku pemiliknya dan disokong penuh oleh pihak Selangor FC.
Keutamaan usaha dan inisiatif itu digerakkan sememangnya untuk kegunaan Selangor FC pada musim hadapan.
Susulan usaha dan naik taraf itu juga, Dr. Johan melahirkan keyakinan setinggi 95% bahawa Stadium MBPJ akan dijadikan “home” buat Selangor FC beraksi dalam kancah ACL2.
Untuk makluman, Selangor FC meraih slot ke saingan ACL2 setelah muncul naib juara Liga Super 2023.
Namun demikian, slot itu disumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah skuad berjulukan Harimau Selatan itu muncul juara berganda, Liga Super dan Piala FA.
Situasi itu membuatkan slot ke ACL2 yang sepatutnya diberikan kepada juara Piala FA beralih kepada naib juara Liga Super.
Sementara itu, JDT pula meraih slot ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACL Elite) atas kapasiti juara Liga Super.
Featured Image: Malaysian Football League