Aaron Chia Jangka Tahun 2024 Penuh Dengan Kesukaran
December 20, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain badminton beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia menjangkakan tahun 2024 bakal menjadi tahun yang sukar untuk dihadapinya bersama-sama rakan gandingannya, Soh Wooi Yik.

Pemain berusia 26 tahun itu menjangkakan kesukaran berkenaan memandangkan terdapat kejohanan besar perlu dihadapi mereka terutamanya Sukan Olimpik 2024 di Paris bagi acara individu. Selain itu, Aaron-Wooi Yik juga hampir pasti dipertaruhan sebagai gandingan utama skuad negara untuk mengepalai cabaran di kejohanan berpasukan, Piala Thomas 2024.

Justeru, Aaron melihat pelbagai aspek daripada persembahan mereka sepanjang tahun ini perlu ditingkatkan agar lebih bersedia untuk mencapai pelbagai sasaran yang akan diletakkan di atas bahu mereka.

“Saya rasa banyak lagi kita kena tingkatkan, kita kena konsistenkan (samada) bila di atas gelanggang atau dari segi mental dan fizikal, kita pun kena persiapkanlah sebab tahun depan akan menjadi tahun yang sukar buat kami dan banyak sasaran akan diletakkan, jadi kita kena bersiap sedia,” katanya selepas ditemui pengamal media selepas menandatangani kontrak lanjutan sebagai Duta Jenama Haier.

Menerusi perjanjian tersebut, Aaron dan Wooi Yik menjadi muka hadapan bagi kempen ‘Inspire Future Dreams’ bagi jenama Haier sepanjang tahun 2024.

Sementara itu, rakan gandingannya, Wooi Yik merumuskan terdapat peningkatan terhadap prestasi mereka sepanjang tahun 2023 walaupun mengalami beberapa kekalahan.

“Secara keseluruhan saya merasakan tahun ini kita banyak peningkatan dari segi prestasi (dan) makin kukuh, tetapi kita ada juga (mengalami) kekalahan, (perkara) ini harus ditingkatkan lagi pada tahun hadapan kerana ada temasya terpenting iaitu (Sukan) Olimpik,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Wooi Yik turut senada dengan Aaron untuk mempertingkatkan lagi prestasi mereka lebih-lebih lagi untuk menghadapi cabaran pada tahun hadapan yang disifatkannya sebagai sangat penting. 

Sebagai rekod, gandingan Aaron-Wooi Yik menutup tahun 2023 dengan berjaya merangkul kejuaraan sulung Jelajah Dunia BWF di Terbuka Denmark selain muncul naib juara sebanyak tiga kali di Terbuka China, Terbuka Indonesia dan Terbuka India.

Komen