Penswastaan Demi Penswastaan Gagal, Sampai Masanya Kelantan Dapat Bantuan ‘Istana’
December 21, 2023 Hafizuddin Omar

Ahmad Muzakkir Hamid menyatakan sudah sampai masanya Kelantan FC turut sama mendapat bantuan daripada golongan diraja seperti beberapa buah kelab-kelab yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi kelab berjulukan The Red Warriors (TRW) melontarkan cadangan berkenaan menerusi satu hantaran di laman sosial peribadinya, pada hari ini.

Muzakkir menggambarkan bantuan daripada golongan diraja itu boleh hadir dalam beberapa bentuk termasuk pemilikan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sri Pahang FC.

“Sudah sampai masanya Kelantan juga harus dapat bantuan golongan diraja. Samada melalui pemilikan atau macam mana… seperti JDT, Selangor dan juga Pahang,” tulisnya.

Untuk makluman, JDT yang baru sahaja melengkapkan gelaran “double quadruple” dengan menjulang trofi Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super selama dua musim berturut-turut dimiliki oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Manakala Selangor FC yang muncul naib juara Liga Super pula dipengerusikan oleh DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah merangkap Raja Muda Selangor (RMS).

Sementara itu, salah seorang pemilik Sri Pahang FC pula adalah YAM Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah merangkap Tengku Muda Pahang (TMP).

Sebagai tambahan, kenyataan oleh Muzakkir itu hadir susulan hantaran dilakukannya semalam yang menyimpulkan penswastaan demi penswastaan terhadap pasukan Kelantan itu sebagai kegagalan.

Tambahnya lagi, penswastaan melibatkan pasukan Kelantan itu bukan sesuatu perkara yang baru sahaja bermula sejak ianya dibeli oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman.

Bahkan ianya telah bermula sejak 31 tahun yang lalu – lebih awal daripada pasukan-pasukan lain dalam kancah bola sepak tanah air – menerusi Ringgit Kreatif Sdn. Bhd.

Sepanjang tahun ini, Kelantan yang dimiliki oleh Norizam ini terpalit dengan beberapa isu kewangan sekaligus mengganggu perjalanan mereka dalam kancah Liga Super.

Hasilnya, Kelantan menutup saingan liga musim ini sebagai pasukan tercorot serta diiringi rekod bolos sebanyak 121 gol -terbanyak dalam sejarah penganjuran Liga Super.

Selain itu, pemberian Lesen Kebangsaan – lesen yang diwajibkan dimiliki oleh mana-mana kelab untuk beraksi dalam saingan Liga Super – oleh First Instance Body (FIB) ditangguhkan sehingga kini.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen