KL City Semakin Hampir Dapatkan Taikun Hadapi Musim 2024-25
December 21, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) semakin hampir mendapatkan taikun untuk memberikan sokongan dalam aspek kewangan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024-25.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard namun tidak mengulas lanjut mengenai latar belakang taikun tersebut termasuk sektor perniagaan yang diceburi.

Menurutnya, kehadiran taikun tersebut dijangka akan memacu prestasi skuad berjulukan The City Boys dengan lebih baik berbanding musim 2021, 2022 dan 2023.

“Saya percaya pada tahun keempat di musim keempat dengan kerja yang sedang dilakukan walaupun dengan cabaran dan kekangan yang dihadapi yang mana KL City tak pernah berselindung, agak jujur, kita ada kelewatan, kita ada kekangan,” 

“Tetapi saya merasakan dengan impak (selama) tiga tahun yang begitu baik di atas padang, itulah merupakan bisnes bola sepak,” 

“Saya merasakan jika kita mempunyai seorang financial backing macam saya pernah cakap taikun ke apa (sebelum ini), kita hampir dah, saya pun tak boleh bagitahu lagi, kita hampir, mungkin musim 2024 ni kita akan nampak KL City (lebih baik),”

“Bajet kecil pun takpe, janji kestabilan, takde kelewatan, player pun faham benda itu sebab KL City punya player main dengan bajet kecil pun kamu tahu prestasi mereka,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC, baru-baru ini.

Untuk makluman, sebelum ini majoriti pemilikan KL City dimiliki oleh firma konsultan kewangan, Rinani Group Berhad setelah membeli 51% pegangan saham dengan harga RM5.1 juta manakala bakinya dipegang oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Bagaimanapun, disebabkan beberapa kekangan yang difahamkan melibatkan perniagaannya, dimaklumkan dalam satu sidang media pada awal November lalu, Rinani Group Berhad telah mengurangkan pegangannya menjadi 10% sahaja.

Sementara itu, baki 90% pegangan itu kembali menjadi milik KLFA.

Perkembangan ini membuatkan KL City terpaksa mencari ‘taikun’ baharu bagi menyokong aspek kewangan mereka untuk menghadapi saingan musim hadapan.

Terdahulu, Stanley yang mula memegang peranan sebagai CEO sejak penghujung tahun 2020 menganggap KL City berjaya mencapai konsistensi terutamanya dalam saingan Liga Super disamping mara ke beberapa pentas perlawanan akhir dalam kejohanan berpiala.

“Saya pernah kata, KL City ni tak pernah dipandang, tak pernah berada dalam konsistensi Liga Super, setiap tahun, ada naik, naik (dan) turun, sampaikan ke divisyen tiga pun pernah, jadi kita (sudah) capai konsistensi,” ujarnya.

Sebagai rekod, musim ini, KL City berhasil menamatkan saingan Liga Super di tempat ketujuh selain bergelar naib juara Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Sebagai perbandingan, pada musim 2022, KL City menamatkan kempen Liga Super di tangga keenam disamping mara ke perlawanan akhir Piala AFC serta mara ke suku akhir Piala Malaysia dan terkandas pada pusingan kedua Piala FA.

Manakala pada musim 2021, KL City turut sama menutup saingan Liga Super di tempat keenam selain muncul juara Piala Malaysia.

Komen