Pencapaian Selangor FC Tahun 2023 Merupakan Yang Terbaik Di Bawah Era RMS
December 22, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon merumuskan pencapaian kelabnya pada tahun ini sebagai yang terbaik sejak berada di bawah kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah merangkap Raja Muda Selangor (RMS).

Dr. Johan membuat kesimpulan tersebut setelah skuad berjulukan Red Giants bimbingan Tan Cheng Hoe menampilkan persembahan yang konsisten terutamanya dalam saingan Liga Super selain memungut mata yang tertinggi dalam tempoh sedekad ini.

“Boleh dikatakan tahun ini merupakan tahun yang terbaik kalau kita lihat dari segi konsistensi dalam liga, kita meraih 21 kemenangan daripada 26 perlawanan, jadi saya rasa tu satu pencapaian yang baik,”

“Saya rasa sejak 10 tahun yang lepas, tahun ini pungutan mata paling tinggi untuk pasukan Selangor, jadi saya rasa boleh katakan untuk lima tahun Tuanku Raja Muda menjadi Presiden (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan pengerusi, ini merupakan pencapaian terbaik di bawah kepimpinan Tuanku di Selangor FC,” katanya kepada Sukanz, baru-baru ini.

Disebalik rumusan pencapaian tersebut, Dr. Johan melahirkan sedikit kekecewaan apabila Selangor FC gagal melakar kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia pada musim ini.

Namun ianya terubat dengan kejayaan Selangor FC meraih slot ke pertandingan peringkat asia tier 2 iaitu Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) hasil muncul naib juara Liga Super.

“Secara keseluruhan saya nampak ada kemajuan yang positif buat pasukan berbanding dengan tahun lepas, …kita terlepas untuk layak ke peringkat akhir Piala Malaysia dan Piala FA dimana merupakan salah satu sasaran kami tetapi sasaran utama adalah untuk layak ke (pertandingan) asia,”

“Kita semua tahu layak ke asia tu dah diumumkan diberikan kepada tempat kedua liga, berdasarkan target dan sasaran tu Alhamdulillah kita berjaya dapatkan sasaran tu, no.2 liga dan layak ke (pertandingan) asia,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, Selangor FC menutup saingan bola sepaknya pada musim ini dengan muncul naib juara Liga Super, mara ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.

Sebagai perbandingan, musim lalu Selangor FC menamatkan kempen Liga Super di tempat kelima, mara ke separuh akhir Piala FA dan bergelar naib juara Piala Malaysia.

Featured Image: Selangor FC

Komen