Kelab bola sepak yang dimiliki oleh XOX Berhad iaitu Perak FC ternyata serius menghadapi saingan musim hadapan biarpun Liga Malaysia musim 2023 baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.
Tahap keseriusan skuad berjulukan The Bos Gaurus itu diterjemahkan menerusi pengumuman menandatangani seorang pemain baharu bagi memperkukuhkan pasukannya bagi mengharungi musim 2024-25.
Pemain baharu yang diikat Perak FC ialah Tommy Mawat Anak Bada, 28 tahun, merupakan bek kiri kelahiran Sarawak yang mempunyai ketinggian 1.73 meter (m).
“Target saya adalah untuk mencapai sebanyak boleh minit permainan yang ada untuk Perak FC dan untuk pasukan saya nak sekurang-kurangnya kita boleh bersaing dalam kalangan lima pasukan terbaik dalam liga,” katanya menerusi video pengenalan dan pengumuman oleh Perak FC, hari ini.
Kehadiran bekas pemain Negeri Sembilan FC ini dilihat bakal memberi lebih pilihan kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah untuk mengisi posisi bek kiri yang sebelum ini kerap diisi oleh Afif Asyraf.
Sebagai rekod, Tommy ketika beraksi bersama Negeri Sembilan FC pada musim lalu tampil sebanyak 27 kali dimana kesebelasan utama sebanyak 23 kali daripadanya bermula dalam kesebelasan utama serta menjaringkan 2 gol dan mencipta bantuan jaringan sebanyak 3 kali.
Untuk makluman, Perak FC muncul sebagai kelab Liga Super yang pertama mengumumkan kehadiran pemain baharu pada jendela perpindahan kali ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.
Featured Image: Perak FC