JDT Derma RM1.9 Juta Wang Kemenangan Liga Super Untuk Program Masyarakat
December 22, 2023 Hafizuddin Omar

Kejayaan muncul juara Liga Super 2023 membolehkan kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) membolot wang kemenangan berjumlah RM1.9 juta.

Akan tetapi ganjaran yang diraih tersebut tidak diagihkan sebagai bonus kepada para pemain mahupun barisan kejurulatihan.

Sebaliknya, menerusi makluman oleh pihak kelab, wang ganjaran sebanyak RM1.9 juta terbabit akan disalurkan kepada Yayasan JDT untuk pelbagai program khidmat masyarakat.

Menurut perkongsian tambahan oleh pihak kelab, dimaklumkan, skuad berjulukan Harimau Selatan telah menyumbangkan kesemua wang ganjaran kemenangan bagi tujuan amal sejak ianya ditubuhkan pada 2013.

Dalam makluman yang sama, JDT turut menderma sebanyak RM1.017 juta – hasil yang dikutip daripada enam perlawanan di tempat sendiri bermula November hingga penghujung musim – kepada usaha kemanusiaan di Palestin.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen