Perlawanan Sumbangsih, Saingan Pertama Liga Super 2024-25 Tidak Diasingkan
December 22, 2023 Hafizuddin Omar

Saingan pembuka tirai, Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Perlawanan Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 berjalan serentak dan tidak diasingkan sama seperti dilakukan pada musim ini.

Ini selepas kedua-dua aksi tersebut akan berlangsung serentak sepertimana edaran surat mengenai tarikh-tarikh pertandingan dan tempoh pendaftaran pemain Liga Malaysia 2024-25, pada hari ini.

Kedua-dua aksi itu dijadualkan berlangsung pada 3hb hingga 5hb Mei 2024.

Perebutan trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu dijangka akan menemukan juara dan naib Liga Super 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Selangor FC.

Kebiasaannya, perebutan trofi ini akan menemukan juara Liga Super dan Piala Malaysia masing-masing. 

Akan tetapi, naib juara Liga Super musim ini akan tampil merebut trofi berkenaan selepas skuad berjulukan Harimau Selatan turut sama merangkul kejuaraan Piala Malaysia – situasi yang sama pada musim 2022 lalu.

Sebagai rekod, perebutan trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan perlawanan pertama Liga Super pernah diasingkan pada tahun 2022.

Ketika itu, trofi itu direbut oleh JDT selaku juara Liga Super 2021 dan Kuala Lumpur City FC (KL City) merangkap juara Piala Malaysia 2021.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu dimenangi oleh JDT setelah melakar kemenangan 3-0 hasil jaringan Nazmi Faiz, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen