JDT Duduki Tempat Ke-11 Kelayakan Mundial de Clubes FIFA 2025
December 26, 2023 Hafizuddin Omar

Penampilan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) sejak tiga edisi lalu meletakkan mereka dalam kelompok 12 kelab terbaik asia bagi kelayakan ke Piala Dunia Kelab atau nama rasminya, Mundial de Clubes FIFA 2025.

Menerusi perkongsian oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA), skuad berjulukan Harimau Selatan itu berada di tangga kesebelas hasil memungut 38 mata menerusi kemenangan, keputusan seri dan mara ke peringkat kalah mati dalam kancah ACL sejak musim 2021.

Bagaimanapun, peluang JDT untuk mara ke kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat yang berformat baharu – melibatkan 23 kelab seluruh dunia, format dimainkan seperti Piala Dunia 2022 serta diadakan setiap empat tahun sekali – itu sudah tertutup rapat.

Ini berikutan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hanya diberikan empat slot bagi beraksi di kejohanan terbabit.

Dua daripada slot itu telah diberikan kepada Al Hilal dari Arab Saudi dan Urawa Red Diamonds dari Jepun selaku juara ACL musim 2021 dan 2022 masing-masing. Manakala satu lagi slot akan diberikan kepada juara ACL musim 2023-24.

Sementara itu, slot terakhir akan diberikan menerusi “ranking pathway” JDT tidak dapat menambah lagi 38 mata yang dimilikinya ekoran telah tersingkir daripada saingan ACL 2023-24 apatah lagi untuk merebut kejuaraannya.

Pada saat ini, Ulsan HD FC atau dahulunya dikenali sebagai Ulsan Hyundai FC mengungguli pemburuan slot melalui “ranking pathway” dengan kutipan 62 mata sambil diikuti rapat Kawasaki Frontale dengan pungutan 61 mata.

Pada masa yang sama, kedua-dua kelab ini masih belum terkeluar daripada saingan ACL musim ini dan berpeluang untuk merebut slot ke Mundial de Clubes FIFA 2025 menerusi kejuaraan ACL 2023-24.

Featured Image: FIFA & JOHOR Southern Tigers

Komen