Penyerang sayap yang pernah diangkat sebagai wira buat skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar kini menjadi pemain baharu Perak FC – kelab yang dimiliki oleh XOX Berhad.
Pemain berasal dari Kuala Lumpur dan berusia 23 tahun ini menandatangani kontrak sebagai pemain baharu skuad berjulukan The Bos Gaurus pada Sabtu lalu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024-25.
Kehadiran pemain yang terkenal dengan nama panggilan Kaka itu dikongsikan secara rasmi menerusi video pendek berdurasi 68 saat serta muat naik hantaran di pelbagai platform media sosial Perak FC.
Di dalam video tersebut, Kaka meletakkan sasaran peribadinya untuk membantu Perak FC menamatkan saingan Liga Super 2024-25 sekurang-kurangnya di tangga keenam.
Bagaimanapun, butiran mengenai tempoh kontrak melibatkan pemain berketinggian 1.69 meter (m) bersama skuad kendalian Yusri Che Lah itu tidak dikongsikan kepada umum.
Untuk makluman, Kaka cukup diingati khususnya peminat bola sepak tempatan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan B-23 atau Harimau Muda semasa dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23 yang berpusat di Mongolia.
Dalam kempen itu, dua jaringan tunggal oleh Kaka perlawanan menentang Laos dan skuad tuan rumah masing-masing telah membantu Harimau Muda muncul juara Kumpulan J sekaligus melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia B-23 2022 yang berlangsung di Uzbekistan.
Sebagai rekod, Kaka yang seringkali beraksi sebagai penyerang kiri atau pemain sayap kiri adalah merupakan sebahagian daripada skuad Terengganu FC II yang menjuarai saingan Piala MFL.
Sepanjang membantu Terengganu II meraih kejuaraan tersebut, Kaka merekodkan sebanyak 17 penampilan serta menjaringkan satu gol. Selain itu, Kaka turut berhasil merekodkan satu penampilan bersama skuad senior Terengganu FC iaitu diturunkan oleh Tomislav Steinbruckner ketika menetang KL Rovers FC dalam saingan Piala Malaysia.
Sebagai tambahan, Kaka menjadi pemain baharu yang kedua diikat Perak FC pada jendela perpindahan kali ini selepas menandatangani pertahanan kiri, Tommy Mawat Bada – bekas pemain Negeri Sembilan FC – pada Jumaat lalu.
Featured Image: Perak Football Club