10 Kemenangan Terbesar JDT Sepanjang 2023
December 26, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengharungi dan mengakhiri tahun 2023 dengan penuh gemilang.

Manakan tidaknya, kelab yang dimiliki Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bukan sahaja menyapu bersih keempat-empat trofi yang dipertandingkan bahkan turut menempa beberapa sejarah baharu dalam kancah bola sepak Malaysia.

Antaranya skuad berjulukan Harimau Selatan ini berjaya mendaftarkan 100 gol dalam kempen liga, menamatkan liga tanpa sebarang kekalahan selama dua musim berturut-turut, mengesahkan dominasi kejuaraan liga selama sedekad serta merangkul gelaran “double quadruple”.

Pada masa yang sama, JDT turut mewarnai kegemilangan dan penempaan pelbagai sejarah baharu itu dengan beberapa kemenangan besar tanpa belas kasihan ke atas lawannya dalam pelbagai pertandingan sepanjang tahun ini. Berikut adalah rangkumannya:

#1 Perak FC vs JDT

Keputusan: 0-5

Venue: Stadium Perak

Tarikh: 4 April

Pertandingan: Liga Super

Ini antara kemenangan besar terawal yang dilakar oleh JDT kendalian Esteban Solari pada tahun ini. Aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh ini menyaksikan JDT mencatatkan kemenangan 5-0 tanpa sebarang balas menerusi jaringan berganda oleh pemain tengahnya, Leandro Velazquez (25’, 90+2’) serta satu jaringan masing-masing oleh Diogo Luis Santo (45’) dan Bergson da Silva (66’). Sementara itu, satu jaringan lagi disumbangkan oleh jaringan sendiri pertahanan lawan, Hasnul Zaim (5’).

#2 Kelantan FC vs JDT

Keputusan: 0-5

Venue: Stadium Sultan Muhammad IV

Tarikh: 14 Julai

Pertandingan: Liga Super

Selain Perak yang berada di utara semenanjung tanah air, Kelantan FC yang dimiliki oleh Norizam Tukiman turut sama menjadi mangsa tumpas 0-5 di tangan JDT. Kelantan yang melayan kunjungan skuad berjulukan Harimau Selatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu terpaksa akur dengan keputusan terbabit hasil ledakan berganda oleh Bergson da Silva (9’, 60’) serta satu gol menerusi Oscar Arribas (22’), Bergson da Silva (64’) dab Akhyar Rashid (77’) masing-masing.

#3 JDT vs Penang FC

Keputusan: 5-0

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 28 Mei

Pertandingan: Piala FA

Satu lagi kemenangan 5-0 dicatatkan JDT pada tahun ini adalah di dalam kejohanan kalah mati, peringkat suku akhir Piala FA dan ianya dilakar ketika bertemu Penang FC di halamannya sendiri, Stadium Sultan Ibrahim. Penjaring dalam perlawanan tersebut ialah Jordi Amat (38’), Arif Aiman (49’), Corbin-Ong (58’) dan Syafiq Ahmad (90+2’). Tidak dilupakan, satu lagi jaringan pula dijaringkan sendiri oleh pemain lawannya, Ousmane Fane (32’). Pada masa yangs sama, kemenangan ini membolehkan JDT menempah tiket ke separuh akhir Piala FA.

#4 JDT vs KL City FC

Keputusan: 6-1

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 3 Julai

Pertandingan: Liga Super

Kemenangan besar JDT sepanjang tahun ini tidak terhenti setakat keputusan 5-0. Ketika bertemu skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Liga Super, JDT memperbaharui catatan kemenangan besarnya itu dengan melakar keputusan 6-1. Kemenangan itu juga dihiasi dengan hatrik oleh Diogo Luis Santo (12’, 35’ dan 44’) serta satu gol oleh Arif Aiman (13’), Safiq Rahim (86’) dan Akhyar Rashid (88’) masing-masing. Bagaimanapun, KL City berhasil membawa pulang gol saguhati menerusi Matko Zirdum (54’).

#5 JDT vs Kedah Darul Aman FC

Keputusan: 6-0

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 9 April

Pertandingan: Liga Super

Sebuah lagi pasukan yang menjadi mangsa belasahan JDT dengan jaringan enam gol ialah Kedah Darul Aman FC. Skuad bimbingan Nafuzi Zain ini terpaksa akur tewas dengan keputusan tersebut ketika berkunjung di Stadium Sultan Ibrahim apabila gagal membalas jaringan-jaringan oleh Fernando Forestieri (23’), Feroz Baharudin (48’), Oscar Aribas (50’), Bergson (53’), Arif Aiman (77’) dan Leandro Velazquez (86’).

#6 JDT vs Kelantan United FC

Keputusan: 6-0

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 13 Mei

Pertandingan: Liga Super

Melengkapkan senarai mangsa bolos sebanyak enam gol apabila bertemu JDT pada tahun ini adalah pasukan dari pantai timur semenanjung, Kelantan United FC. Sepertimana ketika menentang KL City, perlawanan ini turut dihiasi dengan catatan hatrik oleh pemainnya, Bergson da Silva (8’, 61’ dan 69’) serta jaringan berganda daripada Fernando Forestieri (22’ dan 90+2’) serta satu gol oleh Leandro Velazquez (76’).

#7 Negeri Sembilan FC vs JDT

Keputusan: 0-7

Venue: Stadium Tuanku Abdul Rahman

Tarikh: 6 Mac

Pertandingan: Liga Super

Selepas menembusi gawang lawan sebanyak lima dan enam gol, jentera serangan JDT meningkatkannya kepada tujuh gol ketika bertemu Negeri Sembilan FC kendalian K. Devan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Dalam perlawanan itu, JDT tanpa belas kasih menjaringkan tujuh gol tersebut menerusi dua jaringan berganda oleh Fernando Forestieri (21’, 48’) dan Corbin-ong (67’, 88’) masing-masing. Manakala tiga jaringan lagi disumbangka oleh Diogo (42’), Arif Aiman (52’) dan Endrick dos Santos (73’).

#8 JDT vs Perak FC

Keputusan: 8-1

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 2 November

Pertandingan: Piala Malaysia

Dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, JDT mengesahkan kemaraannya ke perlawanan akhir dengan penuh bergaya selepas merekodkan kemenangan besar 8-1 ke atas Perak FC. Tiga pemainnya berhasil melakukan ledakan berganda iaitu Bergson (27’, 59’), Heberty (31’, 90+1’) dan Syafiq Ahmad (61’, 77’). Sementara itu, Arif Aiman (11’) dan Forestieri (52’) menyumbang satu gol masing-masing manakala gol tunggal pelawat dijaringkan oleh Firdaus Fuad (90+2’). Untuk makluman, kemenangan ini membolehkan JDT melangkah ke perlawanan akhir menerusi agregat 12-2.

#9 JDT vs Penang FC

Keputusan: 8-0

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 16 Disember

Pertandingan: Liga Super

Antara perlawanan yang berakhir dengan kemenangan besar serta kenangan manis JDT pada tahun 2023 adalah ketika bertemu Penang di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Disember – perlawanan terakhir Liga Malaysia musim ini. Perlawanan yang berlangsung sebelum mereka menjulang trofi Liga Super 2023 ini berkesudahan dengan jaringan 8-0 hasil empat ledakan oleh Arif Aiman (5’, 47’, 52’ dan 90+6’) serta jaringan berganda Bergson (18’, 33’) dan satu gol oleh Akhyar Rashid (41’) dan Heberty (43’) masing-masing. 

#10 JDT vs Kelantan FC

Keputusan: 10-0

Venue: Stadium Sultan Ibrahim

Tarikh: 19 Ogos

Pertandingan: Liga Super

Kemenangan terbesar JDT pada musim ini berlaku ketika turun menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan Liga Super. Kelantan yang dahulunya merupakan sebuah gergasi bola sepak tanah air diayam-ayamkan dengan mudah oleh para pemain JDT sehingga mereka bolos sebanyak 10 gol. Antara nama-nama yang menghiasai senarai penjaring dalam perlawanan ini ialah Bergson (21’, 43’ dan 72’), Takahiro Kunimoto (24’, 37’), Juan Muniz (54’), Daryl Sham (59’), Heberty (61’), Arif (64’) dan Aysar Hadi (90+3’).

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen