Pan-gon Rancang Panggil Feroz, Tetapi Feroz Rancang Berkahwin
December 27, 2023 Hafizuddin Omar

Feroz Baharudin yang tampil sebanyak 31 kali bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang musim 2023 sebenarnya berada dalam perancangan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

Bagaimanapun, khidmat pemain berusia 23 tahun itu terpaksa dilupakan oleh Pan-gon untuk dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Asia 2023.

Ini berikutan Feroz telah merancang untuk melangsungkan perkahwinan bersama pasangan pilihannya sekaligus menolak panggilan Pan-gon.

“Feroz, kami juga cuba menjemputnya (tetapi) dia merancang untuk (melangsungkan) perkahwinan, tahniah kepadanya, dia akan meluangkan masa bersama keluarga baharunya,” katanya ketika ditemui oleh pengamal media pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM.

Berdasarkan perkongsian di platform media sosial, Feroz telah melangsungkan perkahwinan bersama pasangan pilihannya bernama Mira Nadia pada Jumaat lalu sekaligus menamatkan zaman bujangnya.

Selain itu, jurulatih dari Korea itu turut terlepas khidmat pertahanan Selangor FC dan Terengganu FC iaitu Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing ekoran mengalami kecederaan.

Sementara itu, pertahanan kacukan, Dion Johan-Cools pula akan menyertai kem latihan pada 1hb atau 2hb Januari. Pada masa yang sama, pemain tengah naturalisasi, Endrick dos Santos pula akan menyertai kem latihan sedikit lewat kerana menjangkakan kelahiran anaknya.  

Manakala 24 pemain lain sepertimana disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 19 Disember lalu telah melapor diri dan menyertai sesi latihan untuk hari pertama, semalam.

Secara keseluruhannya, Pan-gon menyifatkan ini merupakan skuad terbaik yang dimilikinya untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 12 Januari kelak di Qatar.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen