Pengalaman Pemain 37 Tahun Diharap Beri Kelebihan Buat Harimau Malaya
December 27, 2023 Hafizuddin Omar

Sejak menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pertengahan musim 2017, Natxo Insa menjadi tonggak utama terutamanya di bahagian tengah yang memacu skuad berjulukan Harimau Selatan merangkul pelbagai kejuaraan dalam kancah bola sepak tanah air.

Sudah tentu pemain berusia 37 tahun ini mempunyai pengalaman yang kaya dalam aksi bola sepak tempatan termasuk di pentas antarabangsa apabila beraksi dalam saingan Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bersama JDT.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berharap pengalaman Natxo itu menjadi satu kelebihan buat skuad bimbingannya berjulukan Harimau Malaya untuk menghadapi saingan Piala Asia 2023 kelak.

Selain itu, Pan-gon turut memanggil penyerang kelahiran Colombia yang baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia iaitu Romel Morales, 26 tahun, yang turut diharapkannya dapat menajamkan lagi ‘taring’ Harimau Malaya dalam kejohanan yang berlangsung di Qatar kelak.

“(Kedua-dua) pemain baru ini diharap memberi kelebihan kepada kami terutamanya dari segi pengalaman, diharapkan (mereka) menjadi pemain yang menyumbang kepada (aspek) serangan (skuad) negara,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan sesi latihan hari pertama skuad kebangsaan, semalam.

Untuk makluman, Natxo yang merupakan pemain berdarah warisan kelahiran Sepanyol kembali dipanggil Pan-gon selepas menyertai kem latihan skuad kebangsaan terakhirnya pada Jun lalu.

Berdasarkan rekod, Natxo merekodkan sepuluh penampilan bersama JDT pada musim ini dimana tujuh daripadanya dalam saingan Liga Super serta satu dalam saingan Piala FA. Manakala dalam saingan ACL pula Natxo diturunkan sebanyak dua kali.

Sementara itu, Romel pula tampil sebanyak 26 kali bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) sepanjang musim 2023 disamping meledak sebanyak sebelas kali dan mencipta satu bantuan gol.

“Saya rasa mereka sedar rakyat Malaysia menyokong mereka, mereka membuat keputusan untuk menyertai kami, kami jemput mereka untuk datang ke sini, saya percaya mereka akan berikan yang terbaik untuk menyumbang kepada negara,” tambah Pan-gon lagi.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen