Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha mendatangkan sebuah kelab tempatan di Qatar untuk menggantikan Arab Saudi menentang Malaysia dalam aksi pemanas badan sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023.
Terdahulu, Arab Saudi yang berada di ranking ke-56 dunia bertindak membatalkan aksi pemanas badan menentang Malaysia atas permintaan ketua jurulatih skuad seniornya, Roberto Mancini – individu yang membimbing Itali menjuarai EURO 2020.
Dikatakan, Mancini meminta membatalkan perlawanan persahabatan tersebut kerana khuatir skuad bimbingannya akan bertemu Malaysia pada peringkat pusingan 16 kelak.
Usaha FAM untuk mengatur perlawanan menentang sebuah kelab tempatan di Qatar itu disahkan sendiri oleh presidennya, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.
“…meeting (mesyuarat) saya dengan Coach Kim Pan-gon tadi mungkin akan cuba untuk lawan satu kelab bila kita sampai awal, kerana pasukan akan pergi (Qatar) 1hb pagi dan kalau dapat 4hb kita lawan satu kelab, okay,”
“Tapi Coach Kim Pan-gon kata, satu perlawanan pada 8hb pun dah cukup kerana untuk dia nak menukarkan pemain, tapi kalau dapat sparring (perlawanan) satu lagi kelab, pun okay, dia pun bimbang kecederaan menimpa pemain (sebelum Piala Asia 2023),” katanya ketika ditemui para pengamal media di Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden FAM & Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 & Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, semalam.
Sebelum itu, Hamidin mengesahkan skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon akan bertemu pasukan yang menghuni ranking ke-91 dunia, Syria pada 8hb sebagai aksi pemanas badan.
Bagaimanapun, perlawanan tersebut akan berlangsung di luar kalendar perlawanan antarabangsa FIFA serta dilangsungkan secara tertutup.
Untuk makluman, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan memulakan kempen Piala Asia menentang Jordan (15hb) diikuti dengan Bahrain (20hb) sebelum mengakhirinya dengan menentang Republik Korea (25hb).
Featured Image: Football Association of Malaysia